CUTI YANG PALING "BEST"  

Posted by Chon On Blog


"Pa, terima kasih. You are the greatest," kata anak bongsu ku yang berusia lapan tahun dalam perjalanan ke sekolah pagi tadi.

"Cuti sekolah kali ini yang paling best," tambah si kecil itu, sambil tangan kanannya memaut bahu kiri ku ketika aku memberhentikan kereta di belakang sebuah bas, berhampiran pintu sisi sekolah rendah di Taman Setiawangsa.

Seperti biasa, Alif akan menunggu giliran selepas abangnya yang berusia 11 tahun untuk mengucup tangan ku dan mengucapkan salam sebelum melangkah turun dari kereta dan memasuki perkarangan sekolah.

Namun tidak seperti kebiasaannya, pagi tadi aku tidak terus berlalu pergi. Pagi tadi, aku memerhatikan kedua-dua anak lelaki ku itu berjalan menuju ke pintu pagar, menyaksikan kemesraan dua beradik ... si abang, PatPat, menggenggam erat tangan kiri si adik yang terhuyung hayang menggalas beg yang sarat dengan buku.

Sampai di anak tangga pertama menuju ke pintu sisi itu, mereka serentak menoleh ke belakang, bibir menguntum senyum, lantas melambai tangan kepada ku sebelum berkejaran memanjat tangga dan hilang dari pandangan ku.

Aku masih tidak bergerak dari tepi jalan itu, fikiran ligat mencari maksud si kecil tadi .... "Cuti sekolah kali ini yang paling best." ? Mungkinkah dia hendak kenakan aku dengan cakap-cakap loyar buruknya, yang memang kelebihannya.

Apa yang "best" sangat cuti sekolah kali ini? Aku masih tertanya-tanya ketika memandu pulang. Pada ku biasa sahaja. Apa sangat yang kami sekeluarga laku, teroka, cari dan jumpa dalam tempoh dua minggu itu? Aku tidak nampak pun istimewanya.

Kami hanya ke Kota Baharu, itu pun untuk memenuhi jemputan kenduri kahwin adik sepupu. Kalau bukan kerana itu, aku malas memandu ke Kota Baharu, jauhnya seperti tak akan sampai! Apatah lagi isteri dan anak-anak sudah sepakat untuk mengikut jalan pantai ke sana. Aku menuruti kehendak mereka walaupun aku sedar tempoh perjalanan begitu lama, lebih sekali ganda jika aku ikut laluan Merapoh-Gua Musang.

Setelah merentasi Lebuhraya Pantai Timur, kami melalui Kemaman, singgah sebentar di Kerteh, menyeberangi jambatan yang baru siap di Kuala Dungun, berhenti lagi di Pantai Teluk Bidara di Kampung Pintasan, membuat lencongan entah ke mana kerana kerja-kerja pembinaan jalan di Marang, menyaksikan satu kemalangan jalan raya sebelum tiba di Kuala Terengganu untuk bermalam di rumah ayah saudara di Losong.

Esoknya kami menyambung perjalanan ke Kota Baharu, sesat dua kali di Seberang Takir kerana tersalah belok. Singgah di Penarik, Kuala Besut, Tok Bali yang pantainya begitu kotor dengan sampah sarap dan terus ke Kota Baharu. Menarikkah percutian itu jika kami tersesat lagi di Kota Baharu semasa mencari hotel penginapan di Jalan Pengkalan Chepa. Akhirnya jumpa juga hotel itu yang terletak tidak jauh dari KB Mall setelah kami tersasar sampai ke MRSM Pengkalan Chepa.

Apa “best”nya percutian itu jika semasa mencari rumah ayah saudara di Bunut Payung, kami terlepas simpang sehingga terpaksa mengharungi kesesakan lalulintas di jalan-jalan Kota Baharu. Hendak elak "traffic jam" KL, tersangkut pula di KB.

"Best"kah percutian itu jika kami terpaksa berpindah hotel esoknya kerana hotel semalam sudah penuh ditempah orang lebih awal. Cuaca yang panas terik dan perut berkeroncong kerana tekak tidak dapat terima makanan yang serba serbi manis pun tidak melegakan tekanan.

Kalau ada pun peristiwa yang menarik mungkin semasa majlis kenduri di rumah ayah saudara di Bunut Payung di mana aku merapatkan hubungan dengan saudara yang lama tidak bertemu. Mungkin juga persinggahan aku sekeluarga untuk bermalam -- rancangan secara spontan -- di chalet murah di Pantai Melawi, Bachok.

Daripada banyak-banyak pantai di sebelah sana semenanjung, Pantai Melawi menambat hati ku. Pantainya agak bersih, pasir putih halus, laut yang tenang dan pantai mendatar, selamat untuk anak-anak bermain air. Ayah dan ibu tidak terkecuali.

Kami bermain layang-layang di Pantai Melawi, berenang di lautnya, mengutip kulit cengkerang dan apa-apa sahaja yang keluarga lakukan di tepi pantai.

Tidak dapat aku teka apa menarik tentang percutian kali ini sehingga anak bongsu ku itu begitu berterima kasih kepada aku. Mungkinkah kerana dia dan abangnya berkesempatan menerbangkan layang-layang mereka di sejalur pantai di Penarik sebelum layang-layang si abang tersangkut di pucuk pokok rhu dan yang seekor lagi milik adik putus talinya dan melayang dibawa angin. Dua orang kakak mereka, YahYah dan Kak Cik, lebih selesa berteduh di dalam kereta dengan "aircon" dipasang kuat. Ibu pula berlindung di bawah bayang pokok, mata sepet menahan silau cahaya matahari.

Mungkin si kecil gembira dengan percutian kali ini kerana dalam perjalanan pulang ke KL, kami singgah di Kerteh untuk melahap burger, apple pies dan french fries di McD******. Adakah semuanya rasa lebih lazat di sana berbanding dengan yang selalu mereka makan di KL?

Aku tidak dapat meneka maksud si bongsu Alif itu sehinggalah ketika dalam perjalanan menghantar isteri ke pejabatnya tadi, dia menyatakan: "Cuba you fikir apa yang you tidak lakukan langsung cuti kali ini."

Sepantas kilat aku faham maksud si manja Alif tadi. Sesungguhnya kali ini, aku benar-benar bercuti.... bersama keluarga selama 14 hari genap, menghabiskan sepenuh masa bersama mereka. Kami mengembara, menerokai tempat baru, memahat kenangan bersama-sama.

Kali ini aku bercuti bersama mereka. Melakukan apa-apa sahaja dan di mana-mana sahaja tanpa membabitkan kerja dan pejabat. Baru aku sedar betapa sudah lama sekali aku tidak bercuti begini tanpa dipanggil ke pejabat, memikirkan urusan kerja, melakukan kerja pejabat di waktu aku bercuti. Malahan aku tidak kisah langsung perkembangan di pejabat dan tentang kerjaya yang ku ceburi lebih 27 tahun lalu. Tidak peduli sama ada aku masih punya meja dan kerusi apabila aku kembali bertugas esok!

Sebelum ini aku jarang bercuti serentak dengan tempoh cuti sekolah. Makanya, perjalanan kami tidak jauh dan tempoh bersama tidak lama kerana selalunya dirancangkan untuk hujung minggu. Kerapkali juga aku berurusan dengan pejabat ketika itu dan kadangkala terpaksa memendekkan cuti kerana rasa terpanggil untuk "berkhidmat".

Nah, kali ini aku benar-benar bercuti. Memang benar kata si kecil aku, "Ini cuti yang paling best". Seorang abang aku pernah berkata, "Pada anak-anak kita, bukannya tempat, pemandangan atau barang yang dibeli yang bermakna tetapi adanya ibu dan ayah di sini mereka ketika sampai di tempat itu, menikmati pemandangan itu dan membeli barangan itu menjadikan semuanya lebih bermakna."

Nampaknya, si kecil yang loyar buruk itu dapat kenakan juga ayahnya, membuat si tua ini belajar dan sedar bahawa ada kehidupan yang lebih penting di luar pejabat ……..”Terima kasih Alif. Papa setuju, cuti kali ini memang yang paling best.”


This entry was posted on Monday, June 09, 2008 . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

4 comments

Anonymous  

tulah a.f ni kerja kuat sgt...
now my turnlah..la ni faham sgt ur QoTH punyer feeling.....
tu kena buat once a year punyer prog.tapi kena dekat2 jer, laa ni minyak mahal..:)

Mei Mei: Thank you for dropping by. Kadang2 kita terlalu asyik buat sesuatu, kita alpa...

Photo layout excellant. Dah cukup tanpa penulisan. Pl show me how it is done.

KOTASTAR: Thanks daddy. Photo layout use Picturetrail. Easy really but not easy to show how in writting. Next time we meet, I show you how.