MERDEKA YANG SURAM  

Posted by Chon On Blog



Selalunya ketika ini, Jalur Gemilang sudah lama saya kibarkan di rumah kami.

Anak-anak akan bertanya itu dan ini tentang kemerdekaan dan sejarah tanahair kita. Saya pula tidak berasa jemu menceritakan peristiwa-peristiwa bersejarah kepada mereka.

Saya juga tidak akan lupa menceritakan kisah saya pernah berjumpa dengan Bapa Kemerdekaan kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Betapa dia melayan saya dengan mesra, laksana seorang datuk melayan cucunya ketika saya menemu ramah beliau beberapa kali dahulu.

Saya juga tidak jemu-jemu mencari bahan-bahan bacaan mengenai jejak-jejak kemerdekaan Malaysia supaya anak-anak tidak lupa. Berkongsi pengetahuan dengan mereka tentang sejarah Malaya, penubuhan Malaysia, termasuklah bagaimana Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

Kalau nenek mereka ada di rumah di bulan kemerdekaan, mereka akan mendengar cerita mengenai era penjajahan Jepun, keganasan komunis dan bagaimana datuk nenek mereka bangkit menuntut kemerdekaan daripada British.

Tetapi entah kenapa semangat kami tahun ini kendur. Suasana menyambut kemerdekaan amat suram. Begitu sedikit bendera negara yang saya lihat berkibaran, baik di rumah, bangunan mahupun kenderaan. Begitu suram kali ini.

Malah, saya belum mengibarkan Jalur Gemilang di rumah kami tahun ini padahal 31 Ogos tinggal 7 hari lagi.

Saya tahu apa puncanya tetapi malas hendak diceritakan. Saya percaya anda juga begitu. Jika tidak, masakan anda pun tidak mengibarkan Jalur Gemilang!

Jangan salah saham, saya amat menyayangi negara saya. Inilah tempat tumpah darah saya. Di sini saya dilahirkan, membesar, berkeluarga dan di sini juga saya ingin disemadikan. Jika perlu, saya pasti di barisan hadapan untuk mempertahankan Ibu Pertiwi ini.

Sudah puluhan kali saya ke luar negara, ke negara miskin dan negara maju. Setelah beberapa hari di sana, saya pasti rindukan negara saya, Malaysia dan sentiasa teruja setiap kali pesawat memasuki ruang udara negara. Kelakar, macam lah saya sudah meninggalkan negara berpuluh tahun tetapi itu hakikatnya. Amat gembira dapat pulang ke negara sendiri.

Tetapi, tahun ini, ada yang tidak kena. Suram dan muram. Sedih pun ada, kecewa terasa juga. Bagaimana dengan anda?



This entry was posted on Sunday, August 24, 2008 . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments