HOT AIR STILL BLOWING OVER BUKIT ANTARABANGSA?  

Posted by Chon On Blog


Pakar-pakar geologi dan alam sekitar berkerumun di kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa untuk memulakan siasatan minggu ini bagi mengenalpasti punca tragedi pada 6 Disember lepas yang meranapkan 14 buah kediaman, mengorbankan nyawa empat penghuninya dan memaksa ribuan penduduk di kejiranan sekitarnya berpindah ke kawasan selamat.



Hasil siasatan itu dan langkah-langkah keselamatan yang bakal dicadangkan hanya akan diketahui tiga bulan lagi. Sehingga itu, lima kawasan di sekitar lokasi tanah runtuh itu ditakrifkan sebagai Zon Merah yang amat berbahaya.


Sekali lagi kajian akan tertumpu kepada kawasan yang sebelum ini telahpun dikenalpasti sebagai sebahagian daripada jalur gelinciran bumi semulajadi di Semenanjung Malaysia yang disebabkan oleh pergerakan tektonik jutaan tahun dahulu.


Ini dirumuskan dalam laporan siasatan tragedi runtuhan Kondominium Highland Towers yang terletak di lereng sebelah selatan Bukit Antarabangsa, tidak sampai dua kilometer dari lokasi tanah runtuh hujung minggu lepas. Tragedi Highland Towers 15 tahun dahulu meragut 48 nyawa. Saya berkesempatan menyaksikan kemusnahan kawasan itu dan merasai betapa hancurnya kehidupan para penghuni di situ, terutamanya mereka yang meratapi kematian ahli keluarga. Selepas 15 tahun, air mata mereka masih mengalir….


Siasatan geologi yang dijalankan selepas peristiwa ngeri pada Disember 1993 menjumpai zon tanah runtuh berisiko tinggi di Hulu Klang. Malahan, adalah dilaporkan bahawa ujian yang dijalankan mendapati struktur tanah di sekitar Bukit Antarabangsa tidak stabil kerana sifatnya yang berada di atas jaluran gelinciran yang menganjur dari Kuala Lumpur ke Johor.


Sebanyak 13 kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di sekitar situ, termasuk lima di Bukit Antarabangsa, sejak tragedi Highland Towers. Jelas sekali kawasan itu amat tidak stabil dan sentiasa terdedah kepada tanah runtuh selepas hujan lebat.


Sejak lapan tahun lepas, kerajaan dilaporkan membelanjakan lebih RM10 juta untuk menjalankan kajian tanah di kawasan Ampang-Hulu Klang. Persoalannya, apakah tindakan yang diambil daripada kajian itu? Apakah langkah-langkah kawalan dan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sehingga kini?


Yang anehnya, dalam tempoh yang sama, pihak berkuasa tempatan yang dipertanggungjawabkan menyelenggara kawasan tersebut dikatakan telah meluluskan 21 projek perumahan di kawasan cerun di situ, termasuk sebuah projek di puncak Bukit Antarabangsa yang baru dilancarkan, yang mewar-warkan “kehidupan anggun di tanah tinggi”.


Sudah pasti alasan yang diberikan ialah projek-projek itu diluluskan setelah pihak berkuasa berpuashati dengan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (Enviromental Impact Assessment).


Duh! Pada saya, apa sahaja hasil penilaian EIA itu, tiada projek cerun bukit harus diluluskan di kawasan yang sudah dikenalpasti zon berisiko tinggi terhadap kejadian tanah runtuh yang terletak di zon jaluran gelinciran bumi yang masih tidak stabil sehingga kini walaupun pergerakan tektonik berlaku jutaan tahun dahulu. Noktah!


Apa lagi hujah yang diperlukan untuk menyakinkan pihak-pihak berkenaan bahawasanya kawasan cerun bukit Ampang-Hulu Klang itu tidak selamat untuk pembinaan apa jua bangunan yang sudah pasti meningkatkan tahap risiko berlakunya bencana. Kenapa kita masih ghairah memperjudikan nyawa bila kita sudah mengetahui kesudahannya, bahawa peluang untuk menang adalah tipis!


Berbalik kepada kajian EIA. Harus diingat bahawa kejiranan Bukit Antarabangsa, Zoo View, Ukay Heights dan beberapa buah kawasan perumahan tanah tinggi di sekitarnya dibina 20 tahun dahulu. Ketika itu tidak ada keperluan kajian EIA. Mungkin ada mekanisme lain tetapi pada pemikiran saya, tentu tidak seketat EIA, yang ketelitiannya turut dipertikaikan ramai pakar alam sekitar dan kajibumi.


Mungkin ketika projek-projek lama itu dibina kawasan berbukit di situ mampu menampung bebannya, namun setelah berdekad lamanya, struktur tanah mulai lemah. Pembangunan baru di sekitarnya mungkin memberikan impak kepada keadaan sekitar, sekaligus menjadikan struktur tanah yang sememangnya lemah, bertambah rapuh.


Kini kajian giat dijalankan untuk mencari punca kejadian minggu lepas. Pada masa yang sama pelbagai janji dan jaminan dilaungkan; satu sistem penilaian dan pemantauan kawasan cerun serta sistem amaran awal akan diperkenalkan agar tragedi serupa tidak berulang. Itulah juga janji dan jaminan yang dilaungkan ketika debu masih berterbangan dari runtuhan kondo Highland Towers 15 tahun dahulu.


Terbaca laporan akhbar hari ini tentang seorang menteri yang mengatakan satu sistem amaran awal seakan sistem amaran tsunami akan dipasang di kawasan penempatan berbukit. Kononnya, JKR dan sebuah syarikat swasta pernah menguji sistem itu suatu ketika dahulu. Kini projek itu akan dikaji semula.


Maka saya tertanya-tanya kenapa projek yang diuji itu tidak diteruskan dan digunapakai dahulu? Adakah kerana situasinya tidak mendesak ketika itu atau mungkinkah faktor kos yang terlalu tinggi?


Apakah yang ditakrifkan situasi yang mendesak? Tidak cukupkah dengan runtuhan demi runtuhan, kematian demi kematian, kemusnahan demi kemusnahan yang disaksikan selama ini untuk melayakkan keadaan itu ditakrifkan sebagai mendesak? Kalaulah kos menjadi penghalang ketika itu, adakah ia lebih murah sekarang? Mungkin saya harus menyoal begini; berapakah harganya nyawa seorang manusia?


Memang benar kita tidak dapat mengubah ketentuan Illahi tetapi kita sebagai manusia dianugerahkan akal fikiran untuk mencari jalan bagi mengelak diri dari terjebak dalam kesusahan. Mungkin yang amat diperlukan ialah kanun atau undang-undang yang ketat dan seragam sesama kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Mungkin kita perlu mengecilkan bilangan pihak-pihak berkuasa yang ada kuasa untuk meluluskan sesuatu projek dan meletakkan tanggungjawab itu kepada satu dua badan agar prosesnya lebih teratur, telus dan efektif. Yang penting ialah penguatkuasaan peraturan-peraturan itu. Tiada gunanya ada undang-undang paling ketat jika penguatkuasaannya lewes dan sambil lewa.


Apa sahaja peraturan yang akan dikuatkuasakan nanti amat dialu-alukan asalkan mencapai maksud asal ia digubal. Yang amat diharapkan setelah adanya kanun itu nanti, penguatkuasaan adalah tegas dan tanpa kompromi agar pihak yang tidak kompeten dan korup disisihkan langsung demi kepentingan awam dan negara.


Sementara menanti hasil siasatan punca kejadian dan dimaklumkan mengetahui status keselamatan kawasan Bukit Antarabangsa ini, para penduduknya, terutamanya yang mendiami kawasan Zon Merah, terpaksa melalui kehidupan harian masing-masing dengan pelbagai kesukaran dan ketidakselesaan.


Suasana berhampiran Ground Zero, lokasi tanah runtuh di sekitar Taman Bukit Mewah, semakin lenggang setelah pelbagai agensi bantuan dan menyelamat yang ditempatkan sejak 6 Disember lepas mulai pulang berperingkat-peringkat. Kawalan lalu lintas lebih teratur dan keriuhan bunyi jentera, siren dan wisel semakin sepi.


Keadaaan hampir kembali normal dan emosi penghuni yang selama ini gundah gulana dengan pelbagai persoalan semakin tenang dengan pelbagai tindakan proaktif yang diambil pihak berkuasa.


Semalam, kerajaan negeri Selangor memberikan jaminan bahawa satu langkah penyelesaian akan dilaksanakan nanti sekiranya kawasan terjejas disahkan tidak selamat langsung didiami lagi. Walaupun tidak dinyata bentuk penyelesaian itu, namun pada saya, ia cukup untuk melegakan kerungsingan yang melanda ribuan penduduk.


Namun, tidak dapat dinafikan bahawa keadaan tidak mungkin akan kembali seperti dahulu. Bagi kami di Bukit Antarabangsa ini, hati tidak mungkin akan tenteram lagi selepas ini. Kebimbangan akan sentiasa bermain di fikiran, terutama setiap kali hujan turun.


Bagi yang berkemampuan, mereka mungkin akan berpindah dari sini. Bagi yang tidak berkemampuan, sudah pasti amat berat sekali mencari tempat tinggal baru. Lebih berat lagi untuk meninggalkan kediaman idaman masing-masing, rumah yang mengisi pelbagai kenangan pahit manis…di sinilah rumah kami, “a place we call home”.


It would be easy to rebuild a house but it would never be simple to rebuild a life, a home, especially to those who have lost their loved ones. No matter how grand a new house to be built later, that home would seem empty……forever.



This entry was posted on Monday, December 15, 2008 . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

4 comments

Anonymous  

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Harap pihak berwajib tidak terus merasa lega selepas menyelesaikan masalah penduduk Bukit Antarabangsa nanti. Banyak lagi projek pembangunan di kawasan berisiko sedang dalam pelaksanaan. Jika mereka terus pejamkan mata dan pekakkan telinga, pasti tiada nokhtah kepada kejadian seumpama ini.

pasti ada hikmahnya kenapa bencana ini berlaku di saat² kita akan menyambut AidilAdha..apapun takziah diucapkan kpd mangsa..dan u juga..harap dah dpt tpt tinggal yg lebih sesuai selepas ini..

jengok²lah blog i.. nak mintak tlg vote video kwn kita kat atas tu ;-)

salam bos...
memang sedih dgn kejadian tu. but as muslim, kita kena back to basic gak, Allah dah kata, bukit tu paku bumi.. macam umah kita la, kalu paku tu diusik, dicabut sesuka hati, maka robohlah umah kita.. jadikan semua kejadian tu sebagai iktibar dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian tu. Allah maha pengasih dan penyayang, dia cuma ambik 4 nyawa kali nih.. fikir2 dan renung2kan...

Anonymous: Lebih berat bila telinga tak mahu mendengar, mata yang celik tidak nampak dan akal tidak digunakan dengan sebaiknya.

Hey AQisH: Gadis Merah Jambu!Ur blog color rock lah! Thanks for stopping over, again.

Dear Sue Said: Masalahnya yang bertanggungjawab masih tidak mahu pikul tanggungjawab dan mudah menyalahkan alam.