Aku sudah hampir melabuh tirai kehidupan di BERNAMA. Hari akhir ku di sana pada 25 September ini. Aku akan bercuti, langsung mengakhiri khidmat selama 28 tahun di pertubuhan yang menjadi kebanggaan ku. Ia bukan sahaja pejabat tetapi bagaikan rumah ku selama 28 tahun. Di situ adanya rakan yang sebenarnya bagaikan saudaraku sendiri...
Selamat tinggal kawan dan detik kita bersama.
Seakan baru kelmarin kita bertemu di dalam mimpi.
Engkau telah mengalunkan lagu merdu ketika aku keseorangan, dan aku, ketika engkau kesepian, membina menara sehingga menerjah langit nan biru.
Namun kita harus bingkas bangun dan tidak boleh lagi diulit mimpi kerana subuh sudahpun berlalu dan mentari sudah setinggi galah.
Air yang pasang dinihari tadi mulai surut dan bahtera yang menantiku sudah mengibarkan layarnya. Maafkan aku kawan kerana masa sudah sampai untuk kita berpisah.
Seandainya engkau dan aku bertemu lagi ketika kenangan mula berbalam di senja nanti, aku akan menyapa mu semula dan engkau akan mengalunkan lagu yang lebih syahdu.
Dan, seandainya tangan kita tersentuh dalam mimpi baru, kita akan bina sebuah lagi menara di langit nan biru…….
Kawan, jangan kita berduka kerana berpisah.
Ketahuilah bahawasanya, kasih kita mungkin lebih nyata dalam perpisahan. Bukankah gunung itu tampak lebih jelas pada pendaki daripada jika direnung dari kakinya?
Terima kasih kawan kerana engkau tidak sahaja merapati aku ketika bala menimpamu, malah juga ketika laba melimpah ruah.
Terima kasih kawan kerana tidak hanya bersama aku ketika engkau bosan di masa luang mu tetapi juga di waktu engkau boleh lokek untuk berkongsi saat bahagia hidup mu.
Percayalah kawan, kemanisan persahabatan kita dipenuhi gelak ketawa dan keikhlasan dalam berkongsi nikmatnya, yang mendinginkan air mata yang mengalir di pipi sehinggakan tidak terasa pedih luka pada hati yang tercalar
7 comments